Mengeksport Jangka Hayat Sihat Warga Jepun, Bahagian 2

Bolehkah Umami Membantu Kita Sewaktu Usia Emas?

Seperti yang dibincangkan dalam Surat Berita, “Bolehkah Ajinomoto Co. Mengeksport Jangka Hayat Warga Jepun yang Sihat?”, walaupun Jepun merupakan negara pertama yang menghadapi “ledakan warga tua,” tetapi segmen penduduk ini semakin meningkat di seluruh dunia1. Daripada Perancis, di mana suku daripada kesemua penduduknya berusia lebih daripada 60 tahun2, hingga ke negara-negara Asia Tenggara, di mana purata jumlah warga emasnya mencecah 9.6 peratus pada tahun 20163, dunia mula memberikan perhatian kepada penjagaan rakyatnya yang sudah lanjut usia.

Jepun telah mempelopori konsep “jangka hayat sihat.” Apa yang ingin disampaikan agak mudah: umur panjang mungkin perkara yang indah, tetapi ia lebih baik sekiranya warga tua hidup bahagia, aktif, produktif dan berdikari. Oleh itu, banyak perhatian yang perlu diberikan bukan sahaja dalam membantu insan hidup lebih lama, tetapi juga membolehkan mereka hidup lebih sihat pada usia tua mereka. Yang jelas, banyak negara lain berkongsi matlamat yang sama. Satu kajian terkini di bandaraya Lyon, Perancis, menyimpulkan bahawa kita perlu makan dengan baik supaya lebih sejahtera semasa hari tua kita. Di United Kingdom, terdapat trend di mana penduduk bekerja lebih lama, dan usia Pencen Negara dirancang supaya ditingkatkan kepada 67 tahun dalam beberapa tahun akan datang. Sementara itu, negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia sedang mempertimbangkan cara untuk menjadikan makanan menyelerakan bagi warga tua mereka kerana seperti juga di negara lain di serata dunia, warga tua biasanya mengalami kemerosotan selera makan.

Mengapakah Mereka Mendapat Kurang Nutrisi?

Pelbagai perubahan fizikal mengurangkan keupayaan manusia untuk mendapatkan nutrisi yang diperlukan ketika mereka semakin berusia. Ramai orang dalam kumpulan usia ini menggunakan gigi palsu, yang boleh mengubah rasa makanan disebabkan logam yang terdapat di dalamnya. Terdapat pengurangan bilangan reseptor rasa di dalam mulut dan tekak, yang pastinya membawa kepada penurunan keupayaan untuk merasa makanan. Pada masa yang sama, keupayaan menghasilkan air liur telah berkurangan yang menjadikan makanan lebih sukar ditelan. Terdapat juga kehilangan kekuatan otot di bahagian rahang dan lidah, yang menambahkan lagi kesukaran satu proses yang kebanyakan kita ambil mudah iaitu makan.

Klik di sini untuk membaca lebih lanjut!

Siaran Akhbar